Orang awam yang membantah dengan keputusan calon ketika sidang media mengenai pengumuman calon yang bertanding dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di PRU 15 di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR — Suasana sidang media Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengumuman calon berprofil tinggi bertukar kecoh apabila salah seorang ahli parti membantah pencalonan yang diumumkan.

Ia berlaku ketika Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berucap dan tiba-tiba seorang ahli parti mencelah.

I disagree!” kata ahli PKR yang hadir pada majlis sidang media itu.

Ahli PKR yang tidak dikenali itu tidak bersetuju dengan tindakan parti yang mencalonkan penjawat awam, pensyarah bertanding di atas tiket PKR.

Anwar kemudian menenangkan keadaan dan meminta ahli parti terbabit untuk membenarkan Rafizi mengemukakan sebab pelantikan itu terlebih dahulu.

Tanpa mendengar penjelasan Rafizi, lelaki itu kemudian beredar meninggalkan bilik sidang media di Ibu Pejabat PKR tanpa disuruh.

Sebelum itu, Rafizi ketika berucap menyifatkan pencalonan PKR dalam kalangan pengamal akademik, agamawan serta penjawat awam adalah satu-satunya tindakan yang logik dan bukan suatu langkah memperjudikan nasib parti.

Katanya, sepanjang dua tahun sebelum ini, jelas menunjukkan isu paling besar yang menentukan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) adalah public cynicism terhadap parti politik dan ahlinya.

“Sebab itu ramai pengundi merasakan mereka tidak lagi akan bergantung kepada secara eksklusif terhadap parti politik tapi akan letak lebih penekanan terhadap kebolehan dan kesegaran calon-calon baharu.

“Jika mana-mana parti memilih untuk bergantung kepada hierarki parti atau ahli politik sepenuh masa tanpa kredibiliti yang secukupnya dengan tanpa ilmu mentadbir peringkat Parlimen, saya rasa kita takkan dapat lawan cynicism ini.

“Apa yang diputuskan PKR ini, tidak kira kalau kamu gelar ini sebagai perjudian (gamble) atau tidak, hanya masa akan menentukannya.

“Kita nak pengundi bukan sahaja melihat muka-muka baharu, tetapi lihat lebih ramai ahli yang profesional. Kita nak lihat lebih sedikit ahli politik sepenuh masa yang mengambil peranan aktif dalam berpolitik,”  kata Rafizi.

Terdahulu, dalam sidang media ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan tujuh nama atas kuota PKR untuk dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara nama-nama yang diumumkan oleh Anwar adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang akan bertanding di Perak, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (Pahang) serta Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Wilayah Persekutuan).

Empat lagi calon yang disenaraikan iaitu bekas Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Nik Omar Nik Abdul Aziz (Perak), bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop (Selangor), bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha (Negeri Sembilan) dan calon siswa, Fathin Amelina Fazlie (Perlis). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast