SIMPANG RENGGAM – Datuk Hasni Mohammad lebih selesa berdialog dengan masyarakat setempat daripada berdebat dengan calon-calon yang merebut kerusi itu.
Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, berdialog dengan kepimpinan di peringkat kampung dan daerah lebih bermanfaat dan kaedah itu lebih sesuai pada musim pilihan raya ini.
“Saya rasa orang Simpang Renggam pun dah tidak berminat nak dengar (debat terbuka),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bertemu pengundi di Taman Desa Sejahtera di sini, hari ini.
Beliau memberikan jawapan itu ditanya wartawan berhubung ajakan debat calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik semalam apabila mencadangkan supaya diadakan debat dengan semua calon-calon di kerusi Parlimen Simpang Renggam.
Maszlee yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut mendakwa, cadangannya itu disambut baik oleh semua calon-calon ketika mereka bertemu di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam ketika penamaan calon pagi semalam.
Bagi tujuan itu juga, beliau turut berharap agar ada pihak yang sudi menyediakan platform supaya debat itu dapat diadakan secara langsung.
Mengulan lanjut, Hasni yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut menegaskan, pihaknya sudah biasa mengadakan sesi townhall dan perjumpaan dengan pentadbiran di peringkat daerah bagi mendengar permasalahan yang dihadapi.
“Berdebat hanyalah untuk keperluan lain. Jadi, saya rasa tidak ada keperluan untuk PRU ini, tidak perlu,” ujarnya.
Ditanya mengenai dakwaan Maszlee yang beliau bersetuju untuk menyertai debat tersebut, Hasni berkata, perbualannya dengan Maszlee berhubung itu adalah dalam masa yang singkat dan tidak berfikir mengenai perkara itu.
“Setuju tu sebelum ini dalam bentuk macam mana. Dia bertanya “datuk kita nak berdebat” sebelum ini tu saya tidak fikir dia bertanya.
“Tetapi, dalam bentuk passing remark maybe dalam masa lain. Tidak perlu dalam waktu berkempen ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette