Selangor Kit Siang Anwar gelombang hijau
Lim Kit Siang

IPOH – Vateran DAP Lim Kit Siang menyeru kepada rakyat di Parlimen Tambun untuk keluar beramai-ramai mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Kit Siang, bakal perdana menteri ke-10 jika PH menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu boleh menyelamatkan Malaysia dari menerima nasib seperti Sri Lanka atau Zimbabwe dalam empat dekad yang akan datang.

“Saya hadir ke Chemor pagi ini, yang merupakan perhentian pertama kempen saya ke seluruh negara untuk Pakatan harapan dan masa hadapan Malaysia.

“Untuk menunjukkan sokongan saya kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

“Dan untuk memulakan proses memperbetulkan kesilapan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terbaik di dunia,” katanya dalam ucapan pada sembang kopitiam Pakatan Harapan di Chemor hari ini.

Kit Siang berkata, PRU menjadi salah satu pilihan raya terpenting dalam enam dekad sejarah negara.

Beliau mendakwa PRU kali ini mungkin merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan Malaysia.

Beliau yang telah bersara daripada politik mendakwa, hanya Anwar sebagai perdana menteri ke-10 yang dapat menghentikan Malaysia daripada menjadi sebuah negara kleptokrasi.

“Atas sebab ini, saya menyeru para pengundi di Tambun untuk menunjukkan kadar keluar mengundi tertinggi dalam sejarah.

“Untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dan untuk menyelamatkan Malaysia dari menerima nasib yang menimpa Sri Lanka atau Zimbabwe dalam empat dekad yang akan datang,” katanya.

Dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 20 November ini, Anwar akan ditentang oleh Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN); Abdul Rahim Tahir (Pejuang) dan penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu (PN).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Faizal atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, menewaskan calon BN dan Pas sebanyak 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi. – MalaysiaGazette