Dr. Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM – Penularan pandemik Covid-19 di Selangor sepanjang 2022 masih dalam keadaan terkawal dengan purata kes yang didaftarkan sekitar 1,000 hingga 2,000 kes sehari bermula minggu epid 35 sehingga 46.

Exco Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, majoriti kes Covid-19 yang didaftar adalah dalam kategori dua dengan 95 peratus, manakala 4.5 peratus lagi daripada kategori tiga, empat dan lima.

“Secara umumnya, situasi Covid-19 di Selangor sepanjang tahun 2022 adalah terkawal.

“Secara purata, kes Covid-19 yang didaftarkan di Selangor adalah sekitar 1,000-2,000 kes sehari bermula minggu epid 35 sehingga minggu epid 46,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai tahap kawalan terhadap penularan Covid-19 sepanjang 2022 semasa sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Siti Mariah juga menjelaskan, purata kes kematian di Selangor akibat Covid-19 sebanyak enam kes seminggu.

“Sebanyak 11 kematian pula telah dicatatkan pada minggu epid 46 berakhir 19 November 2022.

“Dari aspek kadar kematian secara keseluruhan pula, Selangor telah mencatatkan sejumlah 10,911 iaitu 0.7 peratus Case-Fatality-Rate.

“Walaubagaimanapun, untuk tahun 2022, sejak minggu Epid ke-3 yang lalu, kadar CFR ini telah menurun ke angka 0.1 peratus.

“Data-data ini menunjukkan tahap kawalan bagi Covid-19 di Selangor kini adalah baik dan memuaskan,” katanya.

Tambahnya, penularan Covid-19 di Selangor terkawal berikutan peratusan kadar vaksinasi termasuk booster yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus dari jumlah penduduk Selangor.

“Fasiliti kesihatan awam yang mampu menampung kes-kes berkategori tiga, empat dan lima.

“Aktiviti pendidikan kesihatan berterusan yang dijalankan bagi mengingatkan orang awam tentang TRIIS (Test, Report, Inform, Isolate, Seek) dan kepentingan menjaga kesihatan kendiri,” katanya.

Bagaimanapun katanya lagi, aktiviti promosi bagi menggalakkan masyarakat awam untuk mengambil vaksin penggalak kedua perlulah diteruskan.

“Vaksin penggalak kedua perlu diambil khususnya golongan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik dan ibu-ibu mengandung.

“Ini kerana kemunculan varian baru sub-omicron XBB telah menunjukkan peningkatan terhadap kadar kebolehjangkitan, walaupun kadar kematian yang disebabkan oleh varian baharu ini masih kekal rendah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette