KUALA LUMPUR – Kolej UNITI Port Dickson menyatakan komitmen pihaknya membantu kerajaan memartabatkan profesion eksekutif dan pengamal industri halal yang memainkan peranan penting dalam pematuhan pensijilan kategori itu di negara ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Amir Hamzah Md Isa berkata, penganjuran Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan 2022 (PEH22) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue baru-baru ini merupakan manifestasi institusi pengajian tinggi berkenaan dalam menyokong usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri.

Katanya, persidangan peringkat kebangsaan yang diadakan selama dua hari itu merupakan platform perkongsian idea dan bertukar-tukar pandangan secara eksklusif melibatkan pengamal-pengamal pensijilan halal daripada pelbagai industri.

“Melalui PEH22, eksekutif halal dan pengamal industri halal telah mendapat maklumat terbaharu mengenai hala tuju serta polisi kerajaan melalui sesi perbincangan panel melibatkan pelaksana dasar, pakar pelbagai bidang berkaitan halal.

Amir Hamzah

“Persidangan ini berjaya menarik penyertaan lebih 200 orang eksekutif halal yang sedang berkhidmat dalam pelbagai industri termasuk dari luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee hadir dan menyempurnakan simbolik pelancaran rasmi PEH22.

Amir Hamzah yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur menambah, PEH22 dianjurkan secara bersama oleh Kolej UNITI Port Dickson dan Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) selain mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri selain penglibatan syarikat-syarikat terkemuka tempatan.

Menurutnya, selain sesi taklimat dan penerangan daripada pihak berautoriti dalam pensijilan halal khususnya Sekretariat Majlis Halal Malaysia, peserta PEH22 juga berpeluang mengikuti forum membabitkan pakar-pakar bidang berkaitan halal termasuk dari Institut Pertanian Bogor (IPB) University, Jawa Barat, Indonesia.

“Pada penghujung persidangan, PEH22 juga memberi peluang kepada eksekutif halal yang mengambil bahagian mengemukakan pandangan, isu dan cadangan berkaitan secara kolektif kepada penggubal dasar sekali gus memartabatkan profesion ini di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

“Resolusi ini kemudiannya akan diserahkan secara terus kepada pihak berwajib dan kita berharap eksekutif halal terbabit akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan,” ujar beliau.

Persidangan PEH22 yang diadakan julung kali ini disertai seramai 20 panel terdiri daripada pegawai kanan agensi kerajaan berkaitan termasuk JAKIM, Jabatan Agama Islam Selangor, Halal Development Corporation Berhad, syarikat-syarikat terkemuka dan industri tempatan telah mengambil bahagian.

Antara wakil IPT yang mengambil bahagian termasuklah dari Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Universiti Islam Selangor, Kolej Universiti Islam Sultan Ismail Petra, Kolej UNITI Kota Bharu dan Kolej UNITI Port Dickson.

Tegas Amir Hamzah, persidangan terbabit juga telah disertai para pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang berkaitan halal dan syariah sekali gus memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang serta hala tuju profesion eksekutif halal.

“Berdasarkan sambutan PEH22 edisi sulung yang sangat menggalakkan ini, kita akan berusaha menampilkan lebih banyak program seumpama yang menarik sekali gus memberi peluang kepada pelajar-pelajar memandangkan prospek kerjaya ini tidak tertumpu kepada negara kita tetapi terbuka luas di peringkat serantau dan global,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Sains Halal, IPB University Bogor, Prof. Dr. Ir Khaswar Syamsu berkata, pihaknya berbesar hati menjalinkan kerjasama bersama Kolej UNITI yang merupakan IPT pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian halal secara formal, Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013.

“Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi pendidikan tinggi akan berkongsikan kepakaran serta pengalaman sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global,” tegasnya. – MalaysiaGazette