Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas bercakap kepada media selepas membuat satu laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan dan fitnah tentang dana judi dan Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menolak sekeras-kerasnya dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya blok politik itu menggunakan dana perjudian untuk membiayai kempen politik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, tuduhan yang dilemparkan pimpinan Kerajaan Perpaduan itu tidak berasas dan fitnah semata-mata.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Machang yang menang bertanding, dipilih oleh rakyat menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini.

“Saya mewakili ahli-ahli Parlimen PN lain bahawa kami tidak menerima dana daripada syarikat judi tersebut.

“Oleh sebab itu, saya membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri atas pertuduhan jenayah fitnah yang beliau tuturkan kononnya PN mendapat dana daripada syarikat judi yang digunakan dalam kempen PRU15 baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri ke-10 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan tuduhan itu sekadar permainan politik Anwar yang dilakukan untuk membina persepsi seolah-olah PN menerima dana daripada syarikat judi.

“Mungkin tujuannya untuk menggempur pengundi-pengundi Melayu khususnya yang bakal mengundi hari ini di DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai.

“Saya yakin pengundi-pengundi tidak akan termakan dengan fitnah ini kerana ianya dinafikan oleh kepimpinan kami.

“Dengan laporan polis yang kami buat hari ini menunjukkan tiada apa mahu diselindungkan untuk pihak berkuasa melakukan siasatan,” katanya.

Tambahnya, dengan laporan polis itu juga, pihak berkuasa terbuka untuk menyiasat mengenai kehilangan dana kerajaan RM600 bilion semasa pentadbiran Kerajaan PN.

“PN mengambil serius tohmahan dan fitnah ini. Kami harap pihak berkuasa berwajib seperti PDRM menyiasat dan mengambil kira laporan yang telah saya buat tadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette