Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang membenarkan perbelanjaan sebanyak RM107,718,650 dikeluarkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan usul itu berkata, peruntukan tersebut akan dibelanjakan untuk perkhidmatan kerajaan bagi sebahagian tahun 2023.

“Namun, mengambil kira keterbatasan anggaran perbelanjaan sementara ini yang terhad kepada dasar dan komitmen sedia ada kerajaan bagi enam bulan pertama 2023 terlebih dahulu.

“Apa yang baik akan diteruskan terutamanya inisiatif sedia ada yang memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat.

“Selanjutnya, perbelanjaan lain akan dikaji semula dalam penyediaan pembentangan semula Bajet 2023,” kata Anwar.

Anggaran perbelanjaan antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Ia juga bagi projek-projek pembangunan yang sedang berjalan perlu diteruskan terutamanya projek pembaikan dan penyelenggaraan seperti sekolah daif, jalan raya, hospital serta klinik kesihatan.- MalaysiaGazette