Saturday, May 11, 2024
Home Utama MAVA tarik balik sijil jurulatih tampar pemain

MAVA tarik balik sijil jurulatih tampar pemain

PUTRAJAYA — Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menarik balik sijil milik jurulatih yang terlibat dalam insiden menampar dua orang pemain semasa pasukannya menyertai kejohanan bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau yang merupakan seorang guru tidak lagi dibenar menjadi jurulatih bola tampar, termasuk untuk murid sekolah.

“Jurulatih itu telah ditarik balik Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 oleh MAVA.

“Bahkan (jurulatih itu) belum pernah membuat permohonan lesen kejurulatihan Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) sebagai pengiktirafan.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak akan sesekali berkompromi dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet, khususnya mereka yang masih muda kerana mampu memudaratkan pembangunan bakat masa depan negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu, siasatan telah dibuat secara menyeluruh melibatkan semua pihak yang berkaitan.

“Mereka termasuk jurulatih, murid, rakan sepasukan, guru, pengurus pasukan, saksi kejadian serta ibu bapa pemain yang terlibat.

“Selaras peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Jabatan Pendidikan Negeri boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan tindakan tidak wajar, melanggar peraturan atau melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan pertikaian masyarakat,” ujarnya.

Namun katanya, jurulatih berkenaan masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan dan representasi menerusi jawatankuasa yang ditetapkan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri.

Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar dua pemain remaja perempuan selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.
JSaiful Hadee Amar yang terbabit dalam kontroversi itu tampil memohon maaf secara terbuka dan berkata beliau reda berdepan tindakan bakal diterima selepas insiden berkenaan. -MalaysiaGazette