Keadaan bangunan Jakel yang terbakar pada kawal Januari 2023 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Wisma Jakel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 01 JANUARI 2023.

SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) — Laporan siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel di Seksyen 7, di sini dijangka siap selewat-lewatnya pada hujung bulan ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis.

Katanya, laporan itu meliputi hasil analisis  sampel kebakaran yang diambil di setiap sudut bangunan berkenaan serta dokumen daripada pihak Jakel sendiri.

Selain itu katanya, pihak bomba juga akan menyiasat tentang dakwaan beberapa bahagian dalam wisma berkenaan yang diubah suai tanpa mendapat sijil perakuan bomba (FC) untuk dimasukkan dalam laporan berkenaan.

“Bangunan tersebut mempunyai FC pada peringkat awal, tapi saya akan semak semula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan siasat secara mendalam.

Jika ada perubahan (pengubahsuaian) mungkin ia masih dalam proses permohonan kerana tempoh pandemik COVID-19 selama dua tahun sebelum ini dan kemungkinan permohonan itu tergantung, tapi semua blok itu ada FC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid ke JBPM Negeri Selangor dan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba di Ibu Pejabat JBPM Selangor hari ini.

Sementara itu, Norazam turut memaklumkan bangunan berkenaan masih selamat untuk diduduki dan digunakan semula kerana tempoh kebakaran yang tidak lama dan hanya melibatkan kemusnahan fabrik.

” (Namun) mungkin pihak Jakel perlu mencari pihak tertentu untuk mengukur tahap ketahanan bangunan tersebut. Tapi setakat ini, wisma itu tiada masalah (untuk digunakan semula),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan gedung tekstil terkemuka itu terbakar sebanyak dua kali pada 1 dan 3 Jan lepas membabitkan anggaran kerugian hampir RM100 juta.

Terdahulu, Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba hari ini menyaksikan seramai 83 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negeri Selangor menerima Pingat Kebesaran Jabatan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka sepanjang 2020 yang disampaikan Mohammad Hamdan.

Norazam berkata daripada jumlah tersebut seramai 68 anggota menerima Pingat Cemerlang Bomba manakala selebihnya mendapat Pingat Setia Bomba. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast