Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff mencadangkan parti memberi peluang kepada para pemimpin yang dipecat serta digantung membuat rayuan untuk kembali bersama parti.

Bagaimanapun, jelas beliau, jawatankuasa lembaga rayuan tersebut mesti bebas daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi memastikan keputusan itu dibuat tanpa memihak mana-mana pihak.

“Meskipun keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin itu dibuat berdasarkan alasan munasabah yang sudah diteliti oleh MKT UMNO namun masih wajar diberikan peluang untuk mereka buat rayuan.

“Kalau kes mahkamah pun kita masih diberikan peluang buat rayuan apatah lagi parti UMNO.

“Selain itu, kita juga kena ambil kira faktor  individu yang dipecat dan digantung itu merupakan pemimpin yang berjasa pada UMNO sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Yussof, keputusan mendadak tanpa memberi peluang kepada mereka memperbetulkan keadaan akan melemahkan perjuangan parti.

“Isu pecat pemimpin ini memang bukan sesuatu yang baru tetapi nasihat sebagai sebagai veteran perlu ada pertimbangan untuk mereka buat rayuan agar semua tindakan yang diambil oleh MKT UMNO ada asasnya,” jelas beliau.

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dipecat daripada parti.

Keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya pula digantung selama enam tahun.

Turut dikenakan tindakan sama, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Salim Shariff. – MalaysiaGazette