Mohd Na'im ketika berucap pada Majlis Perhimpunan agensi-sgensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan Sweden perlu bertindak menghentikan perbuatan rmembakar al-Quran seperti yang dilakukan oleh pemimpin parti politik berhaluan kanan, Rasmus Paludan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah segera perlu diambil oleh kerajaan negara berkenaan bagi mengelakkan perbuatan itu menjadi satu perkara yang mencabar umat Islam.

Malah katanya, sikap yang ditunjukkan oleh puak terbabit dibimbangi bukan hanya membakar api kemarahan umat Islam di dunia, sebaliknya umat Islam di negara itu sendiri.

“Kita bimbang akan ada tindakan-tindakan provokasi yang akan timbul dan ini akan menyebabkan suasana tidak harmoni.

“Bukan sahaja di negara-negara islam ini kemungkinan berlaku di Sweden sendiri.

“Jadi, perkara ini perlu dihentikan dan apa yang dilakukan oleh puak tersebut adalah satu perkara yang kita tentang dan kita tidak bersetuju dan kita telah buat bantahan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.

Dalam pada itu Mohd Na’im menasihatkan agar masyarakat Islam bertenang dengan keadaan yang terjadi.

Ujarnya, tidak perlu untuk melakukan provokasi ke atas apa yang berlaku serta tidak wajar melakukan apa-apa perkara yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman.

“Kita berharap masyarakat Islam untuk tenang dan kita jangan provok hingga timbulkan sesuatu perkara yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman dalam negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast