Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan aset pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat September 2022 bernilai RM961.1 billion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Wang KWSP pada ketika ini dilaburkan di dalam beberapa instrumen seperti intrumen berpendapatan tetap sebanyak 48 peratus, ekuiti tersenarai Malaysia (37 peratus), ekuiti persendirian (empat peratus), aset nyata (tujuh peratus), dan instrumen pasaran wang (empat peratus).

“KWSP juga turut melabur dalam pelaburan domestik sebanyak 64 peratus dan pelaburan luar negara (36 peratus),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai jumlah keseluruhan aset KWSP, instrumen pelaburan wang tabung simpanan persaraan dan perbezaan dividen dahulu dan masa kini.

Mengulas mengenai perbandingan dividen, Ahmad berkata pulangan pada masa dahulu lebih tinggi di antara tujuh hingga lapan peratus berbanding ketika ini kerana terdapat perbezaan dividen yang diperoleh daripada instrumen berpendapatan tetap dan peratusan kadar inflasi.

“Keadaan dulu dan sekarang lain, dividen yang direkodkan oleh instrumen berpendapatan tetap masa dahulu adalah tinggi antara tujuh hingga lapan peratus dan kadar inflasi juga tinggi, tetapi inflasi sekarang berada pada paras 3.8 peratus dan dividen instrumen berpendapatan tetap hanya antara tiga hingga 3.5 peratus, maka dividen adalah sebagaimana yang kita dapat,” tambahnya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai had dividen bagi kadar caruman sukarela, Ahmad berkata terdapat cadangan peningkatan kadar caruman daripada RM60,000 kepada RM100,000 dan ini akan diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2023.

“Sehingga kini, jumlah caruman sukarela dihadkan maksimum sehingga RM60,000 sahaja dan dividen yang diperoleh mereka berdasarkan jumlah caruman yang dibuat.

“Namun, jika selepas ini ada peningkatan dalam jumlah caruman sukarela (kemungkinan) tiada had juga pada dividen….(jika) dividen yang diumumkan KWSP banyak, maka dividen itulah yang mereka akan dapat,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast