Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Sebanyak 336 kes penderaan kanak-kanak di rumah pengasuh dan pusat asuhan direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, data yang direkodkan itu melibatkan kes dalam pelbagai kategori termasuk rumah pengasuh, taska berdaftar, taska tidak berdaftar dan sebagainya.

“Saya ingin mengajak semua pihak mengadakan program berunsurkan nilai untuk mewujudkan ekosistem bagi membolehkan semua masyarakat mempunyai kesedaran dan membantu jika berlaku kes penderaan.

“Sekiranya ada maklumat membabitkan penderaan segera hubungi 15999. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kita yang cepat bertindak dan mengikut proses dalam menyelesaikan kes membabitkan penderaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang memintanya menyatakan peratusan kes penderaan kanak-kanak setahun di Malaysia dan sejauh mana usaha kerajaan untuk menangani kes berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS – Sri Aman) yang memintanya menyatakan langkah-langkah diambil untuk menangani masalah penderaan dan sosial membabitkan kanak-kanak, Nancy berkata, pelbagai langkah telah diambil.

“Antara langkah-langkah segera yang telah dilaksanakan oleh KPWKM adalah mewujudkan Garis Panduan Pengurusan Penempatan Kanak-Kanak kepada Ibu Bapa dan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

“Melalui Garis Panduan ini, pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai rujukan dan panduan secara terperinci dalam proses membuat syor pihak yang layak menjadi OYLS, sebelum diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, pegawai pelindung JKM terus diberikan pendedahan serta latihan yang berterusan dalam usaha mempertingkat dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran. – MalaysiaGazette