Pelakon, Farid Kamil membawa sejambak bunga semasa hadir bagi pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dengan isterinya, Diana Danielle ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2023.

SHAH ALAM – Pelakon, Farid Kamil mendakwa ada pihak ketiga menjadi punca rumah tangga yang dibina bersama Diana Danielle hampir 11 tahun kini di ambang perpisahan.

Farid, 42, ketika ditemui selepas hadir prosiding sebutan semula di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya berkata, pihak ketiga yang muncul dalam perkahwinan mereka  sejak setahun lalu menjadi punca isterinya nekad untuk bercerai.

Pelakon, Diana Danielle selepas hadir bagi pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dengan suaminya Farid Kamil ketika di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2023.

Katanya, meskipun telah memohon maaf atas kesalahan yang disifatkan Farid sendiri sebagai tidak munasabah namun isterinya enggan mengubah keputusan.

“Saya sudah cuba sedaya upaya saya memujuk Diana atas kesalahan yang tidak munasabah tapi saya dapati hari ini kekuatan beliau kerana seperti yang saya maklum bahawa ada pihak ketiga yang menyokong beliau daripada belakang.

“(Pihak ketiga) itu boleh tanya Diana sebab kalau boleh saya nak tegakkan undang-undang Islam, hak sebagai seorang suami yang rumah tangganya diganggu orang ketiga yang mana saya rasa sangat tidak adil sebagai seorang suami diperlakukan sebegitu dan apabila kita menuntut jawapan daripada dia tentang perkara tersebut perpisahan yang diminta.

“Bukan masalah itu berlarutan cuma masalah terkantoi baru-baru ini,” dakwanya.

Terdahulu menurut pelakon filem Anwar, The Untold Story itu, kewujudan pihak ketiga dalam rumah tangganya diketahuinya baru-baru ini.

Farid bagaimanapun menegaskan, beliau masih kekal dengan pendiriannya untuk menyelamatkan rumah tangganya yang dibina bersama Diana selama 11 tahun itu.

 “Jadi saya sayangkan keluarga saya, saya sayangkan anak-anak saya saya tidak pernah lagi diuji sebegini rupa. Saya harus menyelamatkan isteri saya daripada terus diperlakukan sebegitu daya sayangkan anak-anak saya kerana tanpa isteri saya, saya tidak akan dapat jumpa anak-anak saya.

“Saya masih mahu selamatkan rumah tangga saya,” katanya lagi.

Kedua-dua artis berkenaan mendirikan rumah tangga pada November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7, – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Farid bawa cincin, bunga ros ke mahkamah untuk Diana