KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada Februari 2023, terus merekodkan penyusutan 1.0 peratus daripada 142.7 mata pada bulan sebelumnya kepada 141.2 mata.

Sementara itu, indeks nilai seunit import menunjukkan trend positif dengan pertumbuhan 0.6 peratus daripada 128.0 mata kepada 128.7 mata.

Terma perdagangan Malaysia kekal menunjukkan prestasi negatif dengan penurunan 1.6 peratus bulan ke bulan kepada 109.7 mata pada Februari 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, indeks nilai seunit eksport mengalami kejatuhan 1.0 peratus pada Februari 2023 berbanding bulan
sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-3.6%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-2.7%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.4%).

Selain itu, indeks volum eksport meningkat 0.7 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (+16.4%), makanan (+14.8%) dan bahan kimia (+6.9%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim melonjak 11.7 peratus daripada 149.8 mata kepada 167.4 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport naik 4.4 peratus manakala indeks volum meningkat 5.2 peratus.”

Indeks nilai seunit import meningkat 0.6 peratus pada Februari 2023, disumbangkan oleh kenaikan indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.4%), minyak
galian (+1.1%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+0.3%).

Indeks volum import merosot 2.5 peratus pada bulan yang sama berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-16.2%), barang-barang
keluaran kilang (-11.4%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-9.7%).

Manakala indeks volum import pelarasan bermusim berkembang 10.9 peratus daripada 165.6 mata kepada 183.6 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import
bertambah 4.6 peratus manakala indeks volum melonjak 7.7 peratus.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terma perdagangan Malaysia kekal menunjukkan prestasi negatif 1.6 peratus bulan ke bulan kepada 109.7 mata pada
Februari 2023, didorong oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.6%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-4.0%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-1.8%).

Terma perdagangan Malaysia menyusut 0.2 peratus tahun ke tahun daripada 109.9 mata pada Februari tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast