Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak melonjak selepas beberapa pengeksport minyak terbesar dunia mengumumkan pengurangan pengeluaran secara mengejut.

Harga minyak mentah Brent melonjak lebih daripada AS$5 setong, atau 7%, kepada melebihi AS$85 ketika dagangan bermula.

Peningkatan itu berlaku selepas Arab Saudi, Iraq dan beberapa negara Teluk mengurangkan pengeluaran lebih daripada satu juta tong sehari.

Harga minyak melonjak apabila Rusia menyerang Ukraine, tetapi kini kembali pada paras yang dilihat sebelum konflik bermula.

Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) telah menyeru pengeluar untuk meningkatkan pengeluaran untuk mendorong harga tenaga lebih rendah.

Harga tenaga dan bahan api yang tinggi tahun lepas telah membantu meningkatkan inflasi, kenaikan harga, sekali gus memberi tekanan kepada kewangan banyak isi rumah.

Menjawab berita mengenai pemotongan terbaharu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS berkata: “Kami tidak fikir pemotongan adalah wajar pada masa ini memandangkan ketidaktentuan pasaran – dan kami telah menjelaskannya”.

Pengurangan dalam pengeluaran dibuat oleh ahli pengeluar minyak OPEC+ yang menyumbang kira-kira 40% daripada semua pengeluaran minyak mentah dunia.

Arab Saudi mengurangkan pengeluaran sebanyak 500,000 tong sehari dan Iraq sebanyak 211,000 tong. UAE, Kuwait, Algeria dan Oman juga menyertai pengurangan tersebut.

Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata, keputusan itu adalah “langkah berjaga-jaga yang bertujuan untuk menyokong kestabilan pasaran minyak”, lapor Saudi Press Agency. – Agensi