Anthony Loke pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian ISBSF 2023 di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan mengenakan syarat baharu kepada semua pengendali bas henti-henti di seluruh negara.

Syarat baharu itu ialah mereka perlu mematuhi ketepatan masa mengikut jadual sekurang-kurangnya 80 peratus perjalanan sehari bagi layak mendapat Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF), kata Menteri Pengankutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pelaksanaan syarat itu ditetapkan bagi agihan dana ISBSF berdasarkan kontrak penjanjian antara kementerian dan pengendali bas.

“Penambahbaikan itu penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas kepada orang ramai.

“Kerajaan tidak akan membayar subsidi kepada pengendali bas tersebut untuk semua laluan sekiranya mereka gagal mencapai tahap berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian ISBSF 2023, di sini, hari ini.

Menurut Anthony, berbanding perjanjian sebelum ini, kerajaan hanya memantau jumlah perjalanan yang disediakan oleh pengendali namun, ia berlainan kali ini yang mana ketepatan masa turut dipantau.

Ujarnya, di dalam kontrak perjanjian baharu itu juga, kerajaan akan mewajibkan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai (cashless).

“Pengendali juga akan dibayar kos maksimum RM450 sebulan untuk setiap kenderaan yang dipasang sistem cashless bagi memastikan tidak berlaku lagi ketirisan hasil tambang yang dikutip,” tambahnya.

Terdahulu, pada majlis sama, sebanyak 37 syarikat bas henti-henti menandatangani perjanjian perlanjutan kontrak bantuan ISBSF membabitkan 26 syarikat pengendali bas.

Mereka menerima kontrak selama tiga tahun manakala 11 syarikat lagi menerima kontrak selama setahun dengan peruntukan kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM169.87 juta.

ISBSF adalah dana bagi membantu pihak pengendali bas henti-henti menampung kos operasi harian, terutama bagi laluan di kawasan luar bandar. – MalaysiaGazette