Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Izwan Zainuddin bersama Pengarah Urusan Serai Group, Najib Hamid Sdn. Bhd., dan Ketua Pegawai Eksekutif Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali pada pelancaran Meet Bros Steakhouse.

KUALA LUMPUR – Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. (Palace Butcher) dan Serai Group Sdn. Bhd. (Serai Group) bakal menembusi pasaran antarabangsa dengan membuka outlet stik premium halal pertama iaitu ‘Meet Bros Steakhouse’ di Paddington, London yang akan mula beroperasi Mei depan.

Ia merupakan hasil jalinan usaha antara dua syarikat pengendali F&B bumiputera tempatan di bawah rangkaian restoran mereka yang terkenal, masing-masing Meā€™nate Steak Hub dan Jibby & Co.

Ketua Pegawai Eksekutif Palace Butcher, Syed Ashraf Syed Ali berkata, London menjadi lokasi pilihan sebagai cawangan pertama berikutan potensi besar dalam industri halal di bandar itu.

Jelas beliau, pilihan itu juga berdasarkan lokasi strategik London sebagai pintu masuk utama ke Eropah yang menjadikannya lokasi terbaik untuk kedua-dua mereka membuka cawangan pertama di benua itu selain status London sebagai pusat kewangan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali

“London kekurangan restoran stik halal dan apabila mereka (warga London) mengetahui tentang pembukaan restoran ini, mereka menunjukkan sambutan baik kerana memang menantikan restoran stik halal.

“Kami berdua (beliau dan Pengarah Urusan Serai Group, Najib Hamid) dah mula berbincang untuk mengadakan usaha sama ini beberapa tahun lalu dan akhirnya tahun ini ia berjaya direalisasikan.

“Menerusi usahasama ini, kedua-dua pihak akan menubuhkan syarikat joint-venture (JV) iaitu PBR Gastronomy Sdn. Bhd. (PBR Gastronomy UK Ltd.), dengan masing-masing memiliki 50 peratus kepentingan,” katanya pada sidang media pelancaran pembukaan Meet Bros Steakhouse di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Serai Group, Najib Hamid, dan Ketua Peguawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Izwan Zainuddin.

Mengulas lanjut, Syed Ashraf berkata, kedua-dua syarikat telah melabur kira-kira sebanyak RM4 juta untuk membuka restoran berkenaan dan berhasrat untuk membuka cawangan baharu di negara lain antaranya, Pakistan dan Vietnam dengan satu cawangan setiap tahun.

Sementara itu, menurut Najib, hasil pembukaan restoran itu, mereka menawarkan peluang bekerja di luar negara kepada pekerja sedia ada mereka di Malaysia.

Pengarah Urusan Serai Group Sdn Bhd, Najib Hamid

“Kami sudah pun menghantar enam pekerja ke London untuk persiapan pembukaan restoran. Kami juga menerima permohonan daripada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut disana untuk bekerja secara sambilan.

“Selain di Paddington, kami juga meninjau peluang untuk membuka cawangan lain di sekitar Battersea Power Station pada masa akan datang,” katanya.

Meet Bros Steakhouse bakal dibuka secara rasmi pada 12 Mei ini yang akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. -MalaysiaGazette