Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) menyalurkan kewangan mampan terkumpul berjumlah RM34.37 bilion untuk dua tahun di bawah usaha yang dinamakan komitmen satu.

Ketua Pegawai Kemampanan, Shahril Azuar Jimin berkata, setakat 2022, sejumlah RM7.53 bilion untuk pembiayaan runcit dan RM26.84 bilion untuk pembiayaan bukan runcit telah disalurkan bagi kewangan mampan sejak 2021.

“Mobilisasi kewangan mampan runcit dipacu oleh Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank Group manakala mobilisasi kewangan mampan bukan runcit pula oleh perbankan global kumpulan (RM15.86 bilion pada 2022), perbankan perniagaan (RM0.87 juta pada 2022), dan  Etiqa (RM5 juta pada 2022),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, meskipun perbankan perniagaan dikelompokkan di bawah CFS namun ia menyediakan pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan korporat bersaiz sederhana.

Berlandaskan komitmen dua, Maybank juga meningkatkan taraf hidup 871,200 isi rumah di seluruh Asean bagi tempoh 2021/2022 melalui penyediaan tawaran insurans mampu milik dan boleh akses kepada pelanggan berpendapatan rendah; penyelesaian kewangan inklusif untuk kumpulan rentan, PKS dan perusahaan mikro; celik kewangan dan inisiatif melalui Yayasan Maybank, serta sumbangan zakat.

Maybank juga membentuk rangka kerja produk mampan (SPF) sendiri untuk membolehkan pembangunan produk hijau, sosial dan mampan yang lebih baik.

Sasaran awal kewangan mampan sebanyak RM50 bilion yang akan disalurkan pada 2025 untuk membantu satu juta isi rumah telah dinaikkan kepada RM80 bilion pada Februari 2022 untuk membantu dua bilion isi rumah Asean.

Shahril berkata pihaknya telah mencapai sasaran tahunan dan melepasi separuh jalan untuk kedua-dua komitmen itu lebih awal daripada jadual apabila ia menyalurkan kewangan mampan sebanyak RM20.69 bilion dan membantu meningkatkan taraf hidup lebih 360,000 isi rumah pada 2022 sahaja.

Rangka Kerja Produk Mampan Maybank

Maybank menjadi bank Malaysia pertama yang mewujudkan rangka kerja produk mampan bertujuan memberi panduan berhubung pembangunan produk hijau, sosial, mampan, berkaitan kelestarian dan peralihan berkuat kuasa 1 Sept, 2022.

Shahril berkata Maybank menggerakkan kewangan mampan untuk pelbagai usaha kelestarian dalam pelbagai sektor pada 2022.

Dalam industri tenaga, Maybank menyalurkan RM535.7 juta untuk solar dan RM750 juta untuk projek hidro sebagai pembiayaan tenaga boleh baharu,

Dalam industri pembinaan dan hartanah, ia menyalurkan kira-kira RM2.1 bilion bagi pembangunan bangunan hijau, sebahagian besarnya untuk membiayai pembelian dan pembinaan bangunan hijau diperakui di Malaysia dan Singapura.

Dalam bidang perkhidmatan atau infrastruktur asas mampu milik, lebih RM2.3 bilion pinjaman rumah mampu milik telah dikeluarkan di Malaysia memandangkan Maybank Group terus membantu individu dan keluarga untuk mendapatkan pemilikan rumah dan menangani jurang kebolehcapaian perumahan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

“Skim pembiayaan Go Green with Maybank Home kami menyediakan kadar pembiayaan yang menarik untuk pemasangan panel solar dan pembelian rumah yang memenuhi pensijilan bangunan hijau yang diiktiraf untuk kalangan pengguna runcit di Malaysia.

“Kira-kira RM539.5 juta telah disalurkan kepada lebih 770 pelanggan,” katanya.

Dalam industri automotif, Maybank mengeluarkan RM1.21 bilion untuk pembiayaan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hibrid, iaitu lonjakan 124 peratus tahun ke tahun.

“Berdasarkan operasi kami di rantau ini, usaha kami ke arah menggerakkan kewangan mampan akan memberi impak besar kepada dorongan ke arah sistem kewangan yang lebih mampan, dan akhirnya ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya.

Produk Pembiayaan Hijau Maybank

Shahril berkata Maybank menawarkan pelbagai produk pembiayaan mampan daripada bon dan pinjaman hijau, sosial dan mampan sehingga pinjaman atau bon berkaitan kemampanan, pembiayaan peralihan serta dana yang layak untuk pelaburan bertanggungjawab secara sosial (SRI).

Beliau berkata penyelesaian runcit mampan bank termasuk membolehkan akses kepada rumah lebih lestari melalui kempen pembiayaan panel solar dengan kerjasama syarikat terpilih dengan memberikan kadar yang lebih rendah untuk kakitangan mereka.

“Tambahan pula, kami menggalakkan penggunaan kenderaan lebih hijau. Contohnya, di Malaysia dan Singapura, kami memperkenalkan kadar keutamaan untuk pembiayaan kenderaan elektrik dan hibrid (hibrid plug-in untuk Singapura), manakala di Indonesia, kami bekerjasama dengan Hyundai untuk menawarkan pembiayaan bagi pembelian EV dengan kadar faedah bermula sifar peratus,” katanya.

Dari segi pelaburan, Maybank Asset Management menawarkan dana mampan termasuk MAMG Global Environment Fund dan Maybank Global Sustainable Technology Fund yang diperakui dana SRI.

Ia juga menawarkan Maybank Global Sustainable Equity-I Fund, dana patuh syariah pertama Maybank yang diurus secara aktif, katanya.

Beliau berkata Maybank telah memudahkan terbitan pelbagai produk kewangan mampan yang merangkumi pelbagai industri dan negara selain telah mempunyai rangka kerja pembiayaan mampan untuk pelbagai pelanggan tempatan dan serantau. – BERNAMA