Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 76,018 lulus permohonan pinjaman peribadi Peminjam Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah pinjaman yang dipohon keseluruhan bernilai RM726,381,500.

Bercakap di Dewan Rakyat, menurut Ahmad, keseluruhan 150,154 pencarum membuat permohonan dan hanya separuh layak berdasarkan syarat yang diletakkan iaitu mereka yang berumur antara 40 ke 50 tahun sahaja.

Ahmad sekali lagi menegaskan, FSA2 merupakan program pembiayaan peribadi dan bukan cagaran atau sandaran seperti yang diandaikan oleh setengah-setengah pihak.

Justeru menurut beliau, pencarum terdedah dengan tindakan kebankrapan oleh syarikat peminjam jika tidak membuat bayaran seperti yang ditetapkan.

“Maka kita ingin nasihatkan bahawa ahli KWSP hanya yang perlu sahaja pinjam dan ada duit KWSP yang boleh membayar sahaja pinjam.

“Jika tidak ada keperluan untuk meminjam jangan pinjam kerana KWSP ini boleh dikeluarkan untuk pendidikan, kesihatan, pergi haji.

“Tapi untuk pinjaman peribadi itu nak keluar juga ini tidak dijamin oleh KWSP.  Kalau dia tak bayar dia masih boleh disenaraihitamkan,” tegas Ahmad.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PH) yang meminta kementerian menyatakan tindakan kerajaan berkaitan pinjaman bank bersandarkan cagaran Akaun Kedua KWSP apabila syarikat jamiman pembiayaan perniagaan tidak bersetuju untuk membayar pampasan kepada bank-bank kreditor apabila pencarum KWSP gagal membayar balik pinjaman.

Sebelum ini KWSP mengumumkan kemudahan FSA2 bermula 7 April ini bagi ahli yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing.

FSA2 akan dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).-MalaysiaGazette