KUALA LUMPUR – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di pasaran Bursa Malaysia Derivatif dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan berikutan pengeluaran lebih tinggi dalam beberapa minggu akan datang.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata, pengeluaran MSM dijangka meningkat seiring dengan corak bermusim yang mungkin menjejaskan sentimen peserta pasaran untuk membeli komoditi itu.
“Pengeluaran MSM biasanya meningkat mulai bulan April dan bulan-bulan seterusnya, oleh itu kami menjangkakan pasaran akan didagangkan antara RM3,300 dan RM3,600,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya rendah susulan ringgit lemah, jangkaan pengeluaran rendah serta diunjurkan bahawa eksport lebih kukuh yang akan meningkatkan sentimen pasaran.
Bagi asas mingguan kontrak Jun 2023 merosot RM135 kepada RM3,590 satu tan metrik, manakala Julai 2023 bertambah RM13 kepada RM3,602 setan metrik dan Ogos 2023 melonjak RM78 kepada RM3,559 satu tan metrik.
Kontrak September 2023 meningkat RM99 kepada RM3,554 setan metrik, Oktober 2023 naik RM101 kepada RM3,557 satu tan metrik dan November 2023 melonjak RM102 kepada RM3,560 setan metrik.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 302,642 lot daripada 352,098 lot, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 259,646 kontrak daripada 201,387 kontrak pada Jumaat lepas.
Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan berada pada RM3,900 satu tan metrik. – BERNAMA