Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Aliran trafik yang semakin lancar antara Malaysia dan Singapura di Tambak Johor dan Second Link menjadi faktor negeri itu menerima pelaburan tambahan daripada syarikat terkemuka di China.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat alat ganti perabot pintar, JStar Motion yang telah membuka kilangnya di Johor juga dikatakan akan menambah pelaburan RM100 juta.

“Mereka telah menyatakan penghargaan kepada kerajaan kerana aliran trafik antara Johor dan Singapura semakin lancar dan atas sebab itu juga mereka akan melabur sebanyak RM100 juta lagi untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini.

“Mereka turut akan menggalakkan pembekal-pembekal mereka untuk turut membuka perniagaan di bumi bertuah Johor. Pemain-pemain industri pelancongan pula telah memaklumkan bahawa perniagaan mereka juga semakin rancak disebabkan aliran trafik yang lebih baik.

“Kerancakan sektor pelancongan hari ini pastinya begitu diharapkan dan memberikan kelegaan yang sekian lama dinantikan, setelah mereka begitu teruk terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor yang ke-15 di Kota Iskandar pagi ini.

Isu kesesakan lalu lintas sempadan Malaysia dan Singapura yang diselesaikan secara konsisten juga menurut beliau mampu mengatasi kekangan pelabur dan pelancong untuk masuk ke Johor.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, bagi memastikan isu kesesakan sempadan Malaysia dan Singapura diselesaikan, beliau telah telah turun padang sebanyak 60 kali di CIQ, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 14 kali di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Dianggarkan 300,000 rakyat Malaysia menggunakan kedua-dua laluan ini hampir setiap hari demi mencari sesuap nasi. Ini bermakna secara tidak langsung, isu ini memberikan kesan kepada 1.2 juta Bangsa Johor iaitu 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

“Kerajaan negeri memberi penekanan kepada isu kesesakan di  kedua-dua CIQ ini adalah kerana kesannya kepada ekonomi negeri Johor dan Malaysia keseluruhannya,” katanya.-MalaysiaGazette