MELAKA – Tempoh reman pelajar tingkatan dua yang dipercayai mencekik hingga mati adiknya di Kampung Bukit Piatu di sini minggu lalu dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 19 Julai ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, selepas dipohon polis bagi melengkapkan siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah arab berasrama di Alor Gajah itu dibawa ke mahkamah menaiki van polis berpakaian lokap.
Artikel berkaitan: Adik maut dicekik abang kandung
Abang cekik mati adik mangsa buli senior sekolah – Bapa
Pelajar 14 tahun cekik adik sampai mati direman 7 hari
Segera siasat dakwaan suspek cekik adik jadi mangsa buli
Cekik adik sampai mati: Polis rakam keterangan pelajar buli suspek
Reman pelajar 14 tahun cekik adik sampai mati disambung
MalaysiaGazette Rabu lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.
Kejadian disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah.
Sebaik membuka pintu, jirannya itu terkejut apabila mendapati remaja lelaki berkenaan sedang mencekik adiknya yang sudah tidak bernyawa sebelum dia segera menepis tangan pelajar tingkatan dua itu. – MalaysiaGazette