Dua suspek lelaki dengan 24 rekod jenayah dan dadah lampau memandu lawan arus elak MPV polis sebelum ditahan setelah terlibat kemalangan di Lebuhraya Silk 14 Julai lalu akan dituduh di mahkamah kajang esok.

KAJANG – Dua suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu melawan arus selepas dikejar peronda polis di Lebuh Raya Silk akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30 dan 31 tahun itu telah direman untuk melengkapkan kertas siasatan sejak 15 Julai lalu.

“Kita telah merujuk kertas siasatan lengkap kes kedua-dua suspek yang ditahan bersama barang yang digunakan untuk jenayah samun itu kepada timbalan pendakwaraya (TPR) semalam.

“Hari ini, polis mendapat arahan TPR untuk menuduh kedua-dua suspek di mahkamah Majistret Kajang pukul 9 pagi esok (Selasa),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Zaid, kes telah disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari pemeriksaan polis.

Kedua-dua suspek juga diuji positif syabu selepas ditangkap dan dilibatkan dalam ujian saringan air kencing.

Siasatan turut diteruskan ke atas mereka mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil (memiliki peralatan pecah rumah), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara berbahaya).

Dalam kejadian pada pukul 7.18 malam itu, polis menerima maklumat membabitkan kenderaan suspek jenis Isuzu D-Max berwarna perak yang dilihat memandu melawan arus dengan laju dan merbahaya dan berlaku kejar-mengejar kereta peronda polis.

Siasatan mendapati suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri dari pemeriksaan polis serta memandu secara melawan arus sehingga berlaku kemalangan dengan kenderaan orang awam di lebuh raya.

Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menjumpai beberapa peralatan disyaki boleh digunakan untuk melakukan kesalahan jenayah pecah rumah dan curi kabel.

Malah semakan mendapati suspek memiliki 24 rekod lampau jenayah dan dadah.- MalaysiaGazette