Hasmi Zainul, 48, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas kesalahan memiliki MyKad palsu sejak 10 tahun lalu.

MELAKA – Seorang warga Indonesia dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan memiliki MyKad palsu sejak 10 tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasmi Zainul, 48, selepas penjual ayam tersebut mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki kad pengenalan MyKad palsu atas nama individu lain beralamat di Kampung Masin Asin Tandek, Kota Marudu, Sabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSP) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada kira-kira pukul 10 pagi 20 Julai lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peratuan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 (Pindaan 2007),

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan di BSP JPN Melaka kerana memiliki MyKad orang lain dan semakan mendapati nombor MyKad itu tiada dalam rekod.

Tertuduh mengaku bernama Hasmi Zainul berasal dari Medan, Indonesia dan memperolehinya melalui kenalan senegara di Pasar Borong Batu Berendam dengan bayaran RM3,000 pada 2013.

Pegawai Pendakwa JPN Melaka, Ahmad Amirul Ahmad Jamal dalam hujahannya memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana menggunakan kad pengenalan palsu selama 10 tahun.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu tidak dipenjarakan kerana perlu menyara anak dan isteri serta kedua ibu bapa yang uzur di Indonesia.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara selama 12 bulan bermula dari tarikh sabitan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast