JEMPOL – Penduduk sekitar Pekan Rompin, di sini, mahukan sebuah kawasan perindustrian mega diwujudkan antara pekan yang terletak di laluan Bahau ke Gemas itu bagi menjamin masa depan belia mereka.
Menurut mereka, landskap kawasan ladang getah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang perlu setaraf Nilai dan Senawang yang menjadi tumpuan generasi muda.
Penduduk, Cham Yen Peng, 63, berkata, ketika ini kawasan itu hanya dilihat ‘hidup’ pada musim perayaan dan tidak ubah seperti pekan koboi pada hari-hari biasa.
“Sudah sekian lama saya dengar kerajaan nak bangunkan kawasan ini termasuk mewujudkan kawasan perindustrian, namun sehingga kini ia hanya tinggal impian.
“Tak hairanlah, ramai anak muda di sini keluar bekerja di Kuala Lumpur kerana tiada peluang kerja yang bersesuaian dengan kelayakan dan keperluan mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Peniaga, Phoon Pau Tin, 71, berharap wakil rakyat yang baharu dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti dapat membawa perubahan besar kepada DUN itu yang sekian lama dahagakan pembangunan.
“Tanpa ada pembangunan, saya bimbang lama-kelamaan tiada lagi penduduk sanggup tinggal di sini seperti di Kampung Tanah Panjis yang sekarang cuma ada 100 penduduk warga emas.
“Nak lihat pelajar lepasan menengah di sini pun susah kerana terpaksa cari peluang kerja yang jauh seperti di Senawang yang banyak kawasan komersial,” katanya.
Peniaga kedai makan, Mazana Isnin, 53, pula berharap pemimpin baharu yang dipilih 12 Ogos ini dapat mengurangkan karenah birokrasi dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat yang layak.
“Saya dah penat mengharapkan bantuan kerajaan yang memerlukan bermacam-macam bukti sedangkan sudah lima tahun saya menjadi ibu tunggal menyara dua anak yang masih bersekolah.
“Sepatutnya, pemimpin permudahkanlah urusan rakyat yang benar-benar terdesak bukannya menyukarkan lagi urusan kami,” katanya. – MalaysiaGazette