LINGGI – Masalah banjir yang dihadapi penduduk Kampung Permatang Pasir di sini sejak puluhan tahun lalu diibaratkan seperti makan nasi kerana selalu berlaku.
Lebih dikesalkan, isu berkenaan masih gagal diselesaikan sehingga kini biar pun beberapa wakil rakyat sudah bertukar ganti.
Anak jati kampung berkenaan, Mohd Rizuan Abu Bakar, 64, berkata, sudah berpuluh tahun penduduk menerima janji untuk menyelesaikan masalah banjir di Pekan Linggi khususnya Kampung Permatang Pasir.
“Tapi sampai ke hari ini, penduduk terpaksa menanggung derita setiap kali hujan lebat di Seremban atau Rantau menyebabkan pekan Linggi tenggelam banjir hingga paras lebih satu meter.
“Lebih buruk, apabila berlaku air pasang besar di muara Pengkalan Kempas menyebabkan air terperangkap membanjiri kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, masalah itu juga sudah lama dan pemimpin tidak sepatutnya mengambil masa sehingga puluhan tahun untuk diselesaikan.
“Banjir ini sebenarnya pihak atasan pun nampak tapi tiada usaha pun yang dilakukan untuk mengatasinya.
“Kami harap, lepas ini tak kiralah siapa yang menang (Pilihan Raya Negeri) Negeri Sembilan, parti memerintah, atasilah benda ni bukan cuma cakap dan berjanji sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Husaini Zakaria, 65, menganggap banjir dihadapi penduduk diibaratkan seperti makan nasi kerana kejadiannya berulang sepanjang masa walaupun pemimpin silih berganti.
“Nak cakap macam mana lagi, banjir ini dah jadi macam makan nasi. Pemimpin sudah berapa kali ganti, masalah masih macam itu juga.
“Saya pun tak tahu bila masalah ini akan selesai sebab kami orang tua di sini sudah terlalu penat berdepan banjir sampai tiga kali setahun,” katanya.

Bagi Zaqwan Harith Sazali, 21, sesiapa sahaja yang memenangi PRN kali ini diharap dapat segera menyelesaikan masalah itu selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di daerah ini.
“Sebagai anak muda, saya harap isu banjir dapat diselesaikan dan membawa lebih banyak pembangunan di sini,” katanya. – MalaysiaGazette
















