JELEBU – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto atau Aspirasi Kerajaan Perpaduan minggu hadapan bagi memenangi hati pengundi menjelang Pilhan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 12 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, draf akhir aspirasi terdiri daripada 10 teras utama itu kini sudah diperingkat semakan akhir oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Manifesto ini sudah hampir selesai semakan oleh jawatankuasa saya BN dan jawatankuasa Kerajaan Perpaduan mengenai perkara-perkara yang kita tawarkan kepada rakyat untuk tempoh lima tahun.
“Sekarang ini diperingkat akhir tapisan oleh Menteri Besar dan saya sendiri juga akan meneliti fasa akhir sebelum kita lancarkan seawal minggu hadapan,” katanya.
Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kempen di Kampung Petaseh Hulu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jempol merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, pengumuman manifesto itu juga tidak terlambat.
Ini kerana, apa yang lebih penting adalah bagi memastikan kesemua aku janji itu dapat direalisasikan selepas menang PRN, 12 Ogos ini.
“Manifesto ini adalah satu perkara yang bukannya untuk pancing undi tetapi adalah aku janji, perjanjiaan antara kerajaan, antara parti yang diberi mandat oleh rakyat kepada rakyat.
“Pada saya tidak ada pencapaian manifesto 90, 80 atau 70 peratus tetapi bila manifesto ini dikemukakan, ia mesti 100 dilaksana seperti yang dijanjikan,” katanya.
Pada PRN 12 Ogos ini, Jalaluddin dicabar calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Amirudin Hassan. – MalaysiaGazette.