HULU LANGAT – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berhasrat menjadikan kawasan itu sebagai pusat pelancongan jika mendapat mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih itu berkata, banyak kemudahan yang sedia ada memerlukan penambahbaikan termasuk di lokasi air terjun.
“Bukan sungai sahaja tetapi geografi kawasan ini ada dua kolam air panas selain Gunung Nuang yang menjadi pilihan golongan pencinta alam sekitar dan penggemar aktiviti lasak. Andai saya diberikan mandat, ini antara fokus saya.
“Kita tambah baik kemudahan sedia ada, beri keselesaan terbaik. Apabila semua ini dapat dilaksanakan, pastinya lebih ramai pengunjung yang sebenarnya akan memberi peluang kepada penduduk di sini menambah pendapatan dan ekonomi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selain itu Johan yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Selangor berharap untuk menambah baik infrastruktur jalan raya termasuk laluan alternatif.
“Sekarang laluan sesak jika hari cuti atau minggu. Jadi kita akan bawa perkara ini kepada agensi berkaitan supaya dapat mencari jalan penyelesaian. Perkara ini juga akan menjadi mudah apabila kerajaan negeri selari dan selaras dengan kerajaan pusat yang diterajui oleh gabungan perpaduan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















