Ahli Parlimen Machang , Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan.

Ia susulan keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa perkembangan hari ini membuktikan tuduhan terhadap pemimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan fitnah yang berniat jahat.

“Adalah amat jelas bahawa sejak mula lagi, pertuduhan ini amat cacat dan bermotifkan politik untuk mencemarkan nama baik YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu.

“Mahkamah pada hari ini juga mendapati bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin tidak berasas justeru tidak dapat dipertahankan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pertuduhan tersebut kini jelas direka-reka bagi tujuan politik khususnya untuk melemahkan Bersatu selain mempengaruhi sokongan rakyat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.

Nahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN)daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan berkenaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, keempat-empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah cacat, tidak berasas dan kabur. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah lepas dan bebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan rasuah