Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming beramah mesra dengan tetamu selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi KPKT 2023 di Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Warga Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) diseru supaya terus kreatif dan inovatif bagi meningkatkan keupayaan serta keberkesanan sebagai
agen perkhidmatan awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Menterinya, Nga kor Ming berkata, ia sebagai menyambut aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu negara berdaya cipta dengan menyediakan persekitaran dan infrastruktur yang mampu merangsang kreativiti serta menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea termasuk proses yang lebih maju.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas semua bakal penerima anugerah inovasi dan KIK pada tahun ini.

“Semoga pengiktirafan sebegini dapat membangkitkan semangat, memberi dorongan positif berterusan kepada semua warga KPKT untuk menyahut cabaran untuk menghasilkan produk inovasi yang boleh diketengahkan di peringkat kebangsaan mahupun arena antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Inovasi KPKT 2023 di kementeriannya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, peralihan kepada ekonomi kitaran adalah sangat mustahak kerana kaedah itu boleh memanfaatkan sisa, mengoptimumkan kitaran hayat produk serta meningkatkan penggunaan sumber bagi mengurangkan jumlah janaan sisa.

Katanya, itu memberi kesan yang sangat besar dalam tempoh 30 ke 50 tahun akan datang sebagai legasi kepada generasi seterusnya.

Ujar beliau, laporan Indeks Inovasi Global (GII) yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organisation (WIPO) yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-36 daripada 132 buah negara bagi tiga tahun berturut-turut iaitu tahun 2021, 2022 dan 2023 dengan peningkatan skor keseluruhan 40.9 jika dibandingkan skor pada tahun lepas iaitu 38.7.

“Laporan tersebut turut menyatakan Malaysia menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 uppermiddle income countries dengan kenaikan satu tangga berbanding 2022. Dalam kalangan negara ASEAN pula, Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura.

“Sasaran seterusnya adalah memastikan Malaysia termasuk 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025, seiring dengan hasrat Malaysia MADANI untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan pengeluar teknologi menjelang tahun 2030,” tambahnya.

Majlis Sambutan Majlis Hari Inovasi KPKT 2023 serta Hari Inovasi dan Kreatif (KIK) diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf usaha, idea, kreativiti dan hasil projek inovasi warga KPKT.

Ia bertujuan untuk menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan melalui penghasilan projek-projek inovasi yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Bertemakan ‘Inovasi Memacu Kesejahteraan Malaysia Madani’, KPKT komited dalam membudayakan dan memperkasakan inovasi dalam sektor awam selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia Madani.

Ia juga bertepatan dengan pelan startegik KKT di bawah teras tujuh iaitu melestari modal insan, tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan secara holistik. – MalaysiaGazette