Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkenan melancarkan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 30 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru kerajaan untuk terus melaburkan dalam bakat dan tenaga kerja tempatan bagi meneruskan momentum pertumbuhan dan pemulihan negara selepas dua tahun berdepan tempoh yang mencabar.

Baginda bertitah, ini kerana ketika ini negara sedang kembali menikmati tempoh ekonomi yang stabil dengan kadar penyertaan buruh yang meningkat sebanyak 70.1 peratus sehingga Julai lalu.

Baginda bertitah, amat penting usaha Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corporation dalam membantu negara mencapai matlamat dengan mewujudkan dasar yang tepat dan memastikan penyampaian mekanisme berstruktur untuk dana latihan.

“Saya juga memahami bahawa Kementerian Sumber manusia juga memperkenalkan pelbagai inisiatif dengan menyediakan peningkatan kemahiran; penempatan; pekerjaan dan peluang menjana pendapatan untuk komuniti yang memerlukan seperti ibu tunggal; bekas banduan; warga emas; dan orang kurang upaya.

“Ini adalah usaha baik untuk memastikan bahawa tiada mana-mana pihak yang tertinggal dan kita boleh berkembang bersama sebagai satu negara.

“Dengan inisiatif yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Manusia dan juga usaha kolektif pemain industri, saya yakin bahawa negara boleh mencapai matlamat mempunyai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030,” katanya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Persidangan & Pameran Modal Insan Negara (NHCCE) 2023 di Pusat Dagangan Dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood.

Mengulas lanjut, Al-Sultan Abdullah bertitah, Malaysia seperti negara di dunia tidak terkecuali pernah berdepan krisis kesihatan yang meruncing di mana senario itu mengubah cara hidup rakyat, mendidik pelajar, mengendalikan perniagaan dan menguruskan industri yang sudah berbeza.

Titah baginda, perubahan itu bukan sahaja diperlukan tetapi juga menyebabkan anjakan paradigma yang ketara untuk rakyat daripada segi perniagaan, industri dan bangsa.

Yang Di-Pertuan Agong bertitah, beberapa pengajaran penting muncul sejak beberapa tahun lalu apabila bidang perniagaan berubah pantas dan tangkas untuk bertahan sambil bakat dinamik yang berani mencuba benda baru serta mampu berkembang.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menurunkan tandatangan ke dron ‘Vtol Fixed Wing UAV’ ketika melawat ruang pameran selepas Majlis Pelancaran National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 30 OKTOBER 2023.

“Teras ini menjadi pegangan rakyat yang membantu mereka tabah sepanjang menhadapi zaman ekonomi yang tidak ketentuan dan mereka juga menggalakan kemajuan dalam kesejahteraan ekonomi

“Oleh itu adalah penting bagi kerajaan dan pemain industri untuk bekerja bersama dalam usaha memperluaskan pembelajaran dan peluang pembangunan kepada rakyat.

“Untuk Malaysia kekal kuat dan bersaing pada masa hadapan, tenaga kerja dan bakat di negara ini juga mesti digalakkan dan diwujudkan bagi mewujudkan pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan sahsiah berterusan yang perlu menjadi keutamaan,” titah baginda.

Sementara itu, berlangsung selama dua hari bermula hari ini, NHCCE 2023 merupakan kesinambungan kejayaan NHCCE 2022 yang menerima sambutan luar biasa daripada delegasi dari rantau Asia Tenggara.

Dengan tema baharu, ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’, NHCCE 2023 bertujuan membantu organisasi dan para pengamal sumber manusia berada di hadapan tuntutan yang sentiasa berubah dalam tempat kerja moden.

Ini adalah penting kerana organisasi di Malaysia dan Asia Tenggara menghadapi pelbagai gangguan dalam membentuk dinamik tempat kerja.

Mengambil langkah lebih proaktif, NHCCE 2023 menampilkan rangkaian penceramah yang unggul dengan lebih daripada 30 pemikir terkemuka dalam bidang modal insan dunia, pengamal sumber manusia yang berfikiran progresif, serta pakar subjek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast