IMBAS SEMULA. Jamal semasa pembukaan Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia yang menyediakan makanan percuma di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang di sini yang pernah menyediakan makanan percuma kepada rakyat berbilang kaum bakal dibuka semula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengasasnya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, restoran yang diasaskan pada 16 Oktober 2017 bakal diperkenalkan semula selepas mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan warga kota sebelum ini.

“Kita akan wujudkan balik konsep restoran makan percuma yang menyediakan juadah waktu tengah hari, lima kali seminggu, Isnin ke Jumaat bermula selepas Hari Raya Puasa tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar membuka ruang kepada orang ramai untuk mencadangkan lokasi yang sesuai untuk didirikan restoran itu.

“Saya sedang mencari premis yang sesuai dan mesti terletak di Kuala Lumpur untuk meletakkan restoran makanan percuma itu beroperasi semula.

“Mana-mana pihak yang berminat boleh terus menghubungi saya jika ada kedai makan yang sesuai dijadikan restoran makan percuma,” katanya.

Sebelum ini, Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang diasaskan 16 Oktober 2017 hanya bertahan kira-kira sembilan bulan sebelum ditutup pada 18 Jun 2018.

Ia susulan arahan pihak berkuasa Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan notis pengosongan tapak restoran itu sebelum 18 Jun 2018. – MalaysiaGazette