Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Ketika umat Islam melancarkan boikot ke atas barangan Amerika Syarikat dan Israel kerana serangan ketenteraan zionis ke atas rakyat Palestin, tidak timbul isu ketegangan antara kaum di negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, walaupun boikot itu untuk membantah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin, namun tiada seorang pun bukan Islam membantah tindakan itu.

Beliau berkata, meskipun kempen boikot antara Palestin dan KK Mart dua perkara berbeza, namun tindakan itu tidak menyalahi undang-undang dan Perlembagaan.

“Pemuda UMNO hanya anjur kempen boikot, bukan merusuh atau berdemo di jalanan. Kami tak pernah sentuh sensitiviti bukan Islam dan kaum lain.

“Saya tak fikir kempen boikot ini keterlaluan hingga menimbulkan ketegangan kaum.

“Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak perlu gelojoh dalam memberi reaksi balas, hingga mengeruhkan hubungan komponen Kerajaan Perpaduan.

“Kita serah sahaja kepada pihak polis atas tindakan provokatif termasuk serangan bom petrol ke atas cawangan KK Mart,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi menggesa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh bertanggungjawab atas ketegangan masyarakat yang masih berlarutan kesan kempen boikot yang dilancarkan terhadap kedai serbaneka KK Mart.

Nabil berkata, pemimpin politik harus meredakan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk dan bukan menyalahkan api permusuhan.

Sementara itu, beliau berkata, memandangkan kes stoking tertera kalimah Allah kini sudah dibawa ke mahkamah untuk proses pendakwaan, semua pihak harus bertenang dan menghormati proses kehakiman.

“Sebenarnya pengurusan KK Mart yang perlu mengambil tanggungjawab apabila wujudnya ketegangan antara kaum dan agama, bukan kerana kempen boikot Pemuda UMNO.

“Jika benar ketegangan kaum berpunca daripada tindakan Dr Akmal, kenapa hanya pengasas dan pengarah KK Mart serta pengedar stoking kalimah Allah didakwa di mahkamah tempoh hari?

“Ini jelas menunjukkan Yang Berhormat Dr Akmal tidak pernah menghasut pengguna ataupun Pemuda UMNO untuk melakukan apa-apa rusuhan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette