Sabariah mendengar taklimat penggunaan al-Quran E-Braille di pameran sempena Majlis Pelancaran Projek Al-Quran bagi OKU penglihatan Peringkat Pahang hari ini.

KUANTAN – Agenda dakwah memupuk semua golongan celik al-Quran kepada semua golongan diperluas termasuk kepada mereka yang cacat penglihatan.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Sabariah Saidan berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM1.2 juta bagi pembelian al-Quran E-Braille dan latihan modul pembelajaran cacat penglihatan.

Peruntukan tersebut di bawah Belanjawan 2022 oleh Menteri Besar Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 15 September 2023 dan mendapat kerjasama daripada pihak Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).

”Sekurangnya projek ini menyasarkan 60 orang kurang upaya celik al-Quran. RM1.2 juta itu juga termasuk latihan pendedahan kepada orang yang celik dan yang cacat OKU juga.

”Kita juga berhasrat menaik taraf fasiliti membangun dan menambahkan bilangan sedia dengan mengambil langkah maju kedapan membangunkan oku yan cacat fizikal dan juga kepada yang celik al-Quran,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Projek Celik al-Quran Bagi OKU Penglihatan Peringkat Negeri Pahang.

Hadir sama Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin dan Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad.

Menurut Sabariah, UnIPSAS telah mengorak beberapa langkah ke hadapan dengan menyediakan kepakaran, modul dan penyelidikan berkaitan dengan OKU.

”Hal ini menunjukkan  UnIPSAS sentiasa bersedia untuk meningkatkan penguasaan ilmu dalam kalangan OKU dan membuktikan kekurangan bukan menjadi halangan kepada golongan ini untuk terus berjaya dalam bidang akademik,” tambah Sabariah.

Antara objektif penganjuran program untuk menggalakkan perkembangan kelas pengajian al-Quran Braille di Pahang untuk golongan OKU penglihatan selain dapat menyediakan kemudahan kepada insan istimewa itu mendalami ilmu Islam.

Selain itu, program berkenaan dilaksanakan bagi mempertingkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran bagi kakitangan akademik.

Sabariah mewakili kerajaan negeri menyatakan sepenuh sokongan terhadap usaha untuk menyemarakkan pengajaran al-Quran terhadap golongan OKU penglihatan. – MalaysiaGazette