PUTRAJAYA – Beberapa Perdana Menteri terdahulu disifatkan sebagai ‘penakut’ kerana gagal melaksanakan cadangan penyasaran subsidi minyak walaupun sudah dipersetujui sejak 25 tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun Perdana Menteri terdahulu bertindak sedemikian kerana mereka masih mengambil berat terhadap rakyat.
“Betul lah kata Anwar, Perdana Menteri lain tidak lakukannya, mereka tidak kurangkan subsidi kerana mereka ambil berat kepada rakyat. Tapi dia berjanji untuk tidak naik harga, tiba-tiba naik sampai 50 peratus.
“Mungkin Perdana Menteri yang lain semua penakut tapi mereka ambil berat terhadap rakyat mereka,” katanya pada sidang media, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi negara yang dilaksana kerajaan ketika ini sebenarnya dasar yang sudah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun.
Anwar berkata, namun langkah itu tidak dilaksana kerana pimpinan ketika itu lebih memikirkan soal survival politiknya, di samping penyasaran subsidi ini sendiri tak mudah dijayakan.
Dalam pada itu, Dr Mahathir mendakwa, penyasaran subsidi bukan satu tindakan melegakan rakyat yang ketika ini terbeban dengan kos sara hidup dan tekanan inflasi.
“Kita dapati bahawa tiada usaha untuk melegakan rakyat, sebaliknya kerajaan meningkat harga diesel dan kenaikannya agak besar khususnya kepada B40.
“Kalau naikkan 10 sen tak apa laa, ini sampai RM1.20, ia beri kesan kepada kos pengangkutan, perkara umum, kos tenaga dan kos industri akan terkesan.
“Bila mereka terkesan ini, mereka perlu menaikkan harga, dan orang miskin yang menggunakan semua jenis pengangkutan ini,” katanya.
Katanya, kenaikan diesel ketika ini hanya dirasai orang miskin dan bukannya orang kaya.
“Orang kaya ada motokar Mercedes tak apa laa, macam saya ada motokar Mercedes, saya tak terkena laa, saya terima kasihlah kepada kerajaan
“Janji sudah dibuat, bila dia jadi Perdana Menteri, dia mahu turunkan harga petrol, hari ini bila jadi Perdana Menteri, terus naikkan harga diesel.
“Apa yang kita tengok dia naikkan harga diesel dan kos ditanggung oleh rakyat dan rakyat pula sudah sedia menderita,” katanya. – MalaysiaGazette