ADUN Beserah, Datuk Andansura Rabu meninjau projek pembangunan rumah PR1MA Sungai Karang.

KUANTAN – Isu ‘projek sakit’ PR1MA Pahang di Sungai Karang akan dibawa sekali lagi ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hujung bulan ini.

Ini kerana menurut Ahli Dewan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu, selepas setahun isu itu dibangkitkan di DUN Pahang, beliau masih belum menerima sebarang maklum balas berkenaan status pembangunan projek tersebut.

“Setakat hari ini, belum ada sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri berkenaan isu itu. Saya telah angkat isu itu dan telah buat soalan bertulis kepada Dewan.

“Kita tunggu lah hujung bulan ni apabila Dewan mula bersidang,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau memberitahu, projek yang membabitkan 112 unit rumah itu masih gagal disiapkan meskipun tarikh penyerahan kunci telah dianjak beberapa kali sejak tahun lepas.

Projek Perumahan PR1MA Sungai Karang, Kuantan

Menerusi perkongsian di laman Tiktoknya pada 30 Oktober lepas, Andansura menggesa kerajaan negeri dan pihak pemaju menyelesaikan isu membabitkan projek perumahan itu kerana telah membebankan pembeli.

Katanya, projek perumahan PR1MA Pahang Sungai Karang itu sepatutnya siap pada 2021, namun telah dianjakkan ke bulan Julai 2023 kerana terjejas dengan pandemik Covid-19.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa tarikh terbaharu penyerahan kunci kepada pembeli adalah pada November 2024, namun projek perumahan itu dilihat masih belum mampu disiapkan.

“Sebahagian daripada pembeli yang kita terima aduan telah mula diminta untuk membayar pinjaman untuk membeli rumah Prima ini bermula pada Februari 2023.

“Maknanya dalam tempoh setahun lebih, hampir dua tahun, pembeli-pembeli terpaksa membayar rumah ini dan menanggung kos tambahan untuk sewa rumah mereka sekarang,” katanya menerusi perkongsian di laman TikTok beliau.

Sebagai rekod, Andansura pernah mengetengahkan isu projek sakit termasuk pembangunan projek PR1MA di Cherating ke Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua DUN Pahang ke-15 pada 6 Disember tahun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast