Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perasmian Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam menerajui transisi tenaga rantau Asia Tenggara melalui pendekatan yang realistik, inklusif dan berpaksikan teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif tenaga bersih yang kini sedang giat dilaksanakan di peringkat serantau dan nasional, termasuk melalui kolaborasi strategik di bawah ASEAN.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN yang lalu, negara-negara anggota telah mempercepatkan integrasi tenaga bersih melalui pemeteraian beberapa perjanjian penting serta peluasan fasiliti rangkaian APEG (ASEAN Power Grid).

Secara tidak langsung, ia telah membuka laluan ke arah pembentukan pasaran tenaga serantau yang benar-benar berintegrasi.

“Pengorbanan ini terhadap keterhubungan tenaga melebihi sekadar diplomasi kerana ia adalah nadi kepada ekonomi moden kita,” ucapnya dalam ucapan di Majlis Energy Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, syarikat utiliti nasional Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperuntukkan RM43 bilion untuk meningkatkan infrastruktur tenaga negara termasuk dengan mengintegrasikan sistem kecerdasan buatan (AI) dan teknologi penyimpanan tenaga.

Langkah itu bukan sahaja meningkatkan daya tahan sistem tenaga tetapi juga memastikan negara bersedia menghadapi cabaran permintaan tenaga masa depan termasuk dari sektor teknologi canggih dan industri baharu.

Namun Anwar menegaskan transisi tenaga tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa dengan mengabaikan keperluan asas negara-negara sedang membangun yang masih bergantung kepada bahan api fosil.

“Tenaga fosil masih menyumbang hampir 80 peratus kepada bekalan global. Adalah tidak realistik untuk memutuskan kebergantungan ini tanpa memberi ruang kepada pertumbuhan dan keyakinan.

“Hal ini kerana transisi tenaga mesti disusun berdasarkan keadilan ekonomi, akses universal dan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian,” tambahnya.

Dalam konteks ini, Malaysia turut menekankan pendekatan yang inklusif melalui pelaksanaan teknologi Carbon Capture and Storage (CCS).

Usaha tersebut kini digerakkan oleh Petronas dengan rancangan membangunkan tiga kemudahan CCS di perairan negara, melibatkan kerjasama lebih 10 rakan antarabangsa termasuk dari Korea, Perancis, Itali dan Thailand.

“Tahun ini, kita telah meluluskan Rang Undang-Undang CCS 2025 untuk memperkukuh asas undang-undang sektor ini yang sedang berkembang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Petronas sedang bekerjasama dengan syarikat gergasi antarabangsa seperti INEOS, Mitsubishi dan Nippon untuk meneroka kemungkinan penghantaran dan penyimpanan karbon dioksida (CO₂) dari Tokyo ke Malaysia.

Justeru, CCS bukan sahaja dilihat sebagai alat untuk mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu untuk rantau ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast