KUALA LUMPUR – Pengumuman khas Perdana Menteri hari ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu-isu utama rakyat serta meneruskan keberhasilan agenda pemulihan dan reformasi negara.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pengumuman itu adalah satu langkah yang penting dan tepat pada waktunya.
Ia bukan sekadar sebagai reaksi balas kepada tekanan semasa tetapi manifestasi iltizam kerajaan untuk tidak tunduk kepada desakan segelintir pihak yang cuba menggugat kestabilan melalui tuntutan politik picisan.

“Inisiatif seperti pemberian tunai one-off RM100 kepada semua rakyat dewasa, penurunan harga petrol RON95 ke RM1.99 seliter, serta penggandaan peruntukan Jualan Rahmah MADANI antara lain merupakan inisiatif bersifat segera yang mampu meredakan bebanan kos sara hidup yang sedang menekan majoriti rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, ABIM yakin bahawa pengumuman tersebut akan diberi nilai tambah yang lebih menyeluruh dan bersifat jangka masa panjang, konkrit dan menyeluruh melalui dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
Dalam pada itu, ABIM turut menekankan pentingnya pemantauan menyeluruh dan ketelusan dalam pelaksanaan semua inisiatif yang diumumkan.
Ujarnya, manfaat sebenar hanya akan dapat dirasai oleh rakyat sekiranya setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan disandarkan kepada integriti, kecekapan tadbir urus, serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. -MalaysiaGazette
















