KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memuji peranan proaktif Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengembalikan kestabilan serantau melalui rundingan diplomatik tuntas, berprinsip dan inklusif.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ia membuktikan ASEAN kekal relevan sebagai platform penyelesaian konflik serantau.
“Malaysia selaku pengerusi ASEAN berjaya menyatukan kekuatan politik serantau dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China selaku penaja bersama rundingan.
“Kejayaan penting ini di mana Perdana Menteri bertindak selaku hos, pendamai dan pengerusi ASEAN menjadi sosok penting dalam Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara, mulai tengah malam ini.
Kejayaan tersebut diumumkan Perdana Menteri selaku hos, pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.
Mesyuarat khas tersebut dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, ABIM menyeru agar kuasa-kuasa besar ini terus menyokong pendekatan damai yang diterajui ASEAN dengan tidak mengeksploitasi konflik untuk kepentingan strategik masing-masing.
“Malah kuasa-kuasa besar perlu menghormati kepimpinan serantau dan memperkukuh keupayaan tempatan dalam menyelesaikan konflik secara berdaulat.
Selain itu katanya, ABIM menggesa semua pihak agar mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui dan menghentikan serta-merta segala bentuk provokasi bersenjata.
“ABIM menyarankan ASEAN segera menubuhkan pasukan pemantau bebas dan berkecuali bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar, selaras dengan semangat rundingan yang telah dicapai.
“Bantuan kemanusiaan ASEAN juga wajar disalurkan segera kepada semua terkesan, khususnya mangsa perpindahan, keluarga kehilangan tempat tinggal serta mereka yang terkorban akibat konflik,” katanya.
Katanya, ABIM menyeru rakyat Thailand dan Kemboja, termasuk komuniti digital kedua-dua negara untuk menahan diri daripada menyebar provokasi, naratif kebencian atau tuduhan liar di dalam platform media sosial.
“Pendekatan ini sememangnya sangat diperlukan demi menghidupkan kembali semangat muafakat dan penghormatan rentas sempadan, demi masa depan bersama yang damai.
“ABIM komited bekerjasama dengan rangkaian masyarakat sivil di seluruh ASEAN bagi mengukuhkan budaya damai, menyantuni mangsa konflik, serta memastikan suara rakyat terus menjadi sebahagian daripada proses membina keamanan.
“Antaranya cadangan penubuhan Sidang Masyarakat Madani ASEAN untuk Keamanan Serantau sebagai ruang dialog dan rekonsiliasi dan pelaksanaan Program Pendidikan Keamanan ASEAN khususnya untuk komuniti sempadan dan golongan belia serantau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















