Pemuda maut selepas melanggar sebuah kereta dinaiki enam beranak di Jalan Johor Bahru Melaka, Peserai, Batu Pahat malam tadi.

BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas melanggar sebuah kereta dinaiki enam beranak yang membuat pusingan U di Jalan Johor Bahru Melaka, Peserai di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 9.30 malam.

“Kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah motosikal yang ditunggang mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Parit Siba, Bagan menghala ke arah Jalan Simpang Lima untuk ke pusat bandar Batu Pahat.

“Apabila tiba di tempat kejadian iaitu semasa bergerak terus telah berlaku perlanggaran dengan sebuah kereta dari arah yang sama dipercayai telah membuat pusingan U secara mengejut di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun mengalami kecederaan parah di kepala.

Mangsa, katanya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Sementara pemandu kereta itu katanya, iaitu seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun mengalami kecederaan di kepala.

Lima penumpang yang merupakan ahli keluarganya iaitu isteri, 29, anak perempuan, 5, anak lelaki, 1 tahun, emak mentua, 56, dan adik ipar perempuan, 23, cedera ringan.

“Mereka semuanya dirawat di HSNI. Siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast