KUALA LUMPUR – Gesaan supaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan berkait dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir perlu dilihat secara berhemah.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, penyelesaian sebenar dalam kes itu memerlukan fokus kepada proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengikut saluran yang sewajarnya.
Menurut beliau, kes itu perlu diserahkan kepada proses undang-undang untuk dibuktikan dan dijatuhkan hukuman kepada mereka yang bersalah.
“Andai wujud suspek dari kalangan di bawah umur, mereka wajar didekati dengan sokongan moral, motivasi, dan kaunseling, dengan mengambil kira bahawa mereka masih di bawah umur serta dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang menekankan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.
“Justeru, pendekatan pemulihan perlu diutamakan berbanding hukuman semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, wujud desakan menerusi laman sosial media ketika ini yang seolah-olah meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap KPM berkait kes Zara Qairina sekali gus mendesak Fadhlina meletakkan jawatan.
Sementara itu, Ahmad Fahmi turut menggesa masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi merungkai kisah sebenar tragedi yang menimpa Zara Qairina.
Katanya, orang ramai juga perlu menjadikan kes itu sebagai pengajaran untuk menuntut keadilan bagi kes-kes seumpamanya, demi memastikan hak semua anak di bawah umur sentiasa dilindungi.
Dalam masa sama, jelasnya, ABIM turut menyatakan kesediaan menerusi Rahmah Support Team (RST) untuk bekerjasama dengan KPM, kaunselor sekolah dan agensi berkaitan bagi menyediakan sokongan moral, pendidikan adab dan bimbingan emosi kepada pelajar serta komuniti sekolah yang terkesan.
“Kes ini harus menjadi pemangkin kepada reformasi sistem antibuli dan perlindungan kepada pelajar agar setiap pelajar berada dalam persekitaran pendidikan yang selamat, beradab dan bebas daripada ancaman fizikal mahupun psikologi,” katanya.
Dalam masa sama, tambah beliau, ABIM turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, netizen dan pihak berkuasa mengutamakan adab dan fakta, menolak budaya buli fizikal mahupun siber, serta mengamalkan kaedah tabayyun sebelum membuat sebarang tuduhan.
“Isu ini tidak wajar dijadikan alat politik, sebaliknya mesti diurus dengan hikmah, keadilan dan nilai kemanusiaan demi memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















