SYDNEY – Wanita secara genetik mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kemurungan klinikal berbanding lelaki, menurut satu kajian oleh penyelidik Australia yang diterbitkan pada Rabu — dan penemuan ini berpotensi mengubah cara gangguan tersebut dirawat.
Kajian yang digambarkan sebagai salah satu yang terbesar seumpamanya itu melibatkan analisis DNA hampir 200,000 individu yang menghidap kemurungan bagi mengenal pasti “penanda” genetik yang sama.
Ia telah diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.
Menurut projek yang diketuai oleh Institut Penyelidikan Perubatan Berghofer Australia, wanita didapati mempunyai hampir dua kali ganda penanda genetik yang dikaitkan dengan kemurungan berbanding lelaki.
“Komponen genetik bagi kemurungan adalah lebih besar dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
“Meneliti faktor genetik yang sama dan unik antara lelaki serta wanita memberi kita gambaran yang lebih jelas tentang punca kemurungan — dan membuka peluang kepada rawatan yang lebih diperibadikan,” kata penyelidik Jodi Thomas.
Sudah lama diketahui kemurungan lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita, namun punca biologinya masih belum difahami sepenuhnya.
Penyelidik mendapati, terdapat kira-kira 13,000 penanda genetik yang dikaitkan dengan kemurungan dalam kalangan wanita, berbanding 7,000 penanda dalam kalangan lelaki.
Sebahagian perubahan genetik itu boleh menjejaskan aspek biologi yang berkaitan dengan metabolisme atau penghasilan hormon.
“Kami menemui beberapa perbezaan genetik yang mungkin dapat menjelaskan mengapa wanita dengan kemurungan lebih kerap mengalami simptom metabolik seperti perubahan berat badan atau tahap tenaga,” tambah Thomas.
Penyelidik Brittany Mitchell pula berkata, penemuan ini berpotensi membawa kepada perubahan dalam cara kemurungan dirawat dalam kalangan wanita.
“Selama ini, tidak banyak kajian konsisten yang menjelaskan mengapa kemurungan memberi kesan berbeza kepada lelaki dan wanita, termasuk peranan genetik yang mungkin terlibat,” katanya.
“Kini semakin banyak laporan menunjukkan kebanyakan ubat dan penyelidikan yang ada sebelum ini lebih tertumpu kepada lelaki atau peserta lelaki.”
Kemurungan klinikal, atau gangguan kemurungan ketara merupakan salah satu gangguan mental paling lazim di dunia.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 300 juta orang di seluruh dunia mengalami kemurungan. – Agensi
















