KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan orang awam selepas mengugut kontraktor binaan dengan sebilah parang di kawasan perumahan Batu 9, Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pengadu berusia 59 tahun sekitar jam 8.05 malam hari sama.
“Berdasarkan laporan, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang apabila suspek berusia 29 tahun yang menaiki kereta jenis Honda Civic dikatakan telah menghalang kenderaan pengadu.
“Suspek kemudian bertindak keluar dari kereta dengan sebilah parang lalu membuka kenderaan mangsa dengan alasan mahu berbincang mengenai hal peribadi.
“Ketika kejadian, suspek turut merampas telefon bimbit mangsa yang diletakkan di atas riba dan terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa bersama beberapa orang awam bertindak mengejar suspek yang melarikan diri ke Jalan Cuepacs sebelum lelaki itu berjaya diberkas.
“Semakan mendapati, telefon bimbit jenama Oppo milik mangsa berjaya ditemui namun mengalami kerosakan dan pecah dipercayai telah dicampak suspek semasa kejadian.
“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kejadian dipercayai berpunca isu peribadi antara suspek dengan isteri mangsa,” ujarnya.
Berikutan itu, suspek telah diberkas polis dan merampas sebilah parang panjang serta sebuah kereta di lokasi kejadian dan semakan lanjut lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 13 Oktober bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata 1958.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berhbung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Redzuan Jahuri di talian 019-2153937 bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















