KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan pelantikan Tan Sri Rastam Mohd Isa sebagai
pengerusi baharunya berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Rastam adalah mantan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri sebelum bersara pada 2 September 2010 selepas berkhidmat selama lebih 36 tahun sebagai diplomat bagi Kerajaan Malaysia.
Pelantikan terakhir beliau sebelum PUNB adalah sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif FGV Holdings Berhad (September 2023 –September 2025).
Beliau memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 17 April 1974 dan sepanjang kerjaya sebagai diplomat, beliau telah memegang beberapa jawatan penting di luar negara termasuk sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Pakistan (1994-1996), Duta Besar ke Bosnia Herzegovina (1996-1998), Duta Besar ke Republik Indonesia (1999-2003) dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) di New York (2003-2005).
Selepas persaraan, beliau dilantik sebagai Utusan Khas Kerajaan Malaysia ke Brunei Darussalam dan Penasihat di Jabatan Ketua Menteri Sarawak.
Beliau juga menerajui Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia sebagai ketua eksekutif dan seterusnya Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif dari tahun 2014 hingga 2020.
Dalam sektor korporat, beliau pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat swasta dan syarikat senaraian awam di Malaysia termasuk Eversendai Corporation Berhad, Sime Darby Energy Sendirian Berhad dan ING Public Takaful Ehsan
Berhad, serta berkhidmat sebagai Pengerusi Tropicana Corporation Berhad (2014-2017) sebelum pelantikan beliau di FGV Holdings Berhad.
Pada Oktober 2024, Rastam dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Mesir (MEBC). Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA).
Rastam adalah alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan memiliki Master of Arts in International Relations and Strategic Studies dari University of Lancaster serta Certificate of Diplomacy dari University of Oxford.
Beliau juga memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) daripada Universiti Sains Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, PUNB yakin pengalaman luas Rastam akan menjadi aset yang sangat berharga kepada organisasi.
“Kami di PUNB mengalu-alukan kehadiran Tan Sri Rastam. Kami yakin kepimpinan dan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang akan memberi nilai tambah yang signifikan kepada PUNB, terutamanya ketika kami meraikan Ulang Tahun ke-35 PUNB pada
tahun ini dan memulakan R30, Pelan Strategik 5 Tahun kami (2026-2030) yang bertujuan membawa PUNB ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan visi PUNB untuk menjadi pemacu pertumbuhan usahawan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette
















