SUBANG JAYA – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) memperuntukkan RM720,000 untuk disumbangkan kepada 3,600 anak-anak asnaf dan golongan yang tidak berkemampuan.
Menurut Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin sumbangan berkenaan merupakan ‘acara tradisi’ persatuan itu untuk menceriakan golongan yang tidak bernasib baik.

“(Daripada jumlah keseluruhan itu), setiap anak snaf akan mendapat sebanyak RM200 untuk keperluan Hari Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Shopping Raya 2026 Anak-Anak Asnaf dan Pelajar Tahfzi Zon Tengah Bersama Yayasan Pekema di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 10 kumpulan anak asnaf dan golongan tidak berkemampuan sekitar Lembah Klang menerima sumbangan RM200 daripada PEKEMA untuk berbelanja pakaian Hari Raya Aidilfitri.
“Antaranya (anak-anak anaf) daripada Bukit Lanchong, Setia Alam, Klang, Selayang dan Semenyih,”tambahnya.
Dalam pada itu, Mohammed Nazari berkata PEKEMA tahun ini memulakan sumbangan kepada bekas atlet tanah air yang memerlukan.

Ujarnya, tahun ini sebanyak 10 bekas atlet yang memerlukan menerima sumbangan RM3,000.
“Jadi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) memberikan kita senarai nama bekas atlet, yang diberikan menjelang Hari Raya.
“Ini sumbangan untuk setiap bekas atlet yang memerlukan kerana telah menyumbang jasa kepada negara dan mereka dalam kalangan yang tiada pekerjaan dan cedera disebabkan oleh penglibatan mereka di dalam sukan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















