Antara 53 plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 445,000 gram yang berada di ruangan tempat duduk belakang kereta itu.

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran daun ketum ke selatan negara berjaya ditumpaskan dengan menahan dua lelaki di Hentian Rehat, Lebuhraya ELITE Subang Jaya dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitenden Mohd Fairus Jaafar berkata, kedua-dua suspek warga tempatan ditahan berusia 34 dan 38 tahun bersama sebuah kereta jenis Proton Waja sekitar pukul 6.45 petang.

Tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis MPV dan URB Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta digunakan suspek  menemui 53 plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 445,000 gram yang berada di ruangan tempat duduk belakang kereta itu.

“Semakan mendapati, nilai keseluruhan rampasan daun ketum itu bernilai RM18,500 dan dipercayai barangan itu untuk diedarkan ke selatan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

53 plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 445,000 gram yang berada di ruangan tempat duduk belakang kereta Waja.

Ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan mereka turut mempunyai rekod lampau.

Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 13 April depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegas beliau, pihaknya komited dalam membanteras aktiviti pengedaran bahan terlarang serta menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu membateras jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast