Khalijah Mamat, 53, masih mengekalkan harga RM5 bagi nasi ayam yang dijualnya meskipun kos bahan mentah melonjak.

KUANTAN – “Biarlah untungnya ciput (sedikit) janji ramai dapat makan nasi ayam,” kata peniaga nasi ayam, Khalijah Mamat, 53.

Di saat ramai peniaga makanan terpaksa menaikkan harga jualan berikutan kos bahan mentah yang semakin meningkat, Khalijah bagaimanapun tetap bertahan menjual nasi ayam pada harga RM5 sebungkus.

Katanya, walaupun keuntungan yang diperoleh semakin kecil, ia bukan alasan untuk menaikkan harga kerana baginya, yang lebih penting pelanggan masih mampu membeli dan perniagaan dapat diteruskan.

Khalijah Mamat.

Meskipun harga pasaran nasi ayam kini mencecah antara RM7 hingga RM9, Khalijah tetap memilih untuk mengekalkan harga rendah demi menjaga pelanggan setianya yang rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana.

“Memang untung sikit, orang kata tak berbaloi. Tapi bagi saya, asalkan masih boleh berniaga dan pelanggan boleh beli, saya bersyukur.

“Kos bahan memang naik, tapi selepas tolak semua masih ada sedikit untuk kami teruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini.

Menurut Khalijah, keputusan untuk menjual nasi ayam dibuat selepas perniagaan nasi campur yang diusahakan sebelum ini sukar dikekalkan kerana kos lauk yang tinggi dan keuntungan yang tidak menentu.

“Dulu saya jual nasi campur, tapi pelanggan ambil macam-macam lauk, kos jadi tinggi dan untung tak banyak.

“Jadi saya pilih jual nasi ayam sebab lebih mudah urus dan masih boleh kekalkan harga murah,” katanya.

Setiap hari, Khalijah memperuntukkan kira-kira RM150 hingga RM160 bagi membeli bahan mentah termasuk beras, ayam dan keperluan sampingan.

Dia menggunakan kira-kira lima ekor ayam sehari, dan mampu menyediakan antara 60 hingga 70 bungkus nasi ayam, yang kebanyakannya habis terjual sebelum pukul 2 petang.

“Biasanya sebelum pukul 2 petang memang habis. Kadang-kadang pelanggan datang lambat, sudah tak ada lagi,” ujarnya.

Tambahnya, dia tetap memastikan setiap hidangan yang dijual mengekalkan kualiti walaupun pada harga rendah.

Perusahaan nasi ayam itu turut dibantu suaminya yang menguruskan peniagaan sebagai tanda sokongan dalam menyediakan juadah makanan berat kepada pelanggan.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit, kecekalan Khalijah mempertahankan harga RM5 sebungkus bukan sahaja membantu pelanggan berjimat, malah menjadi bukti masih ada peniaga yang lebih mengutamakan kemampuan pelanggan daripada mengejar keuntungan semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast