Kenyataan media ABIM berkenaan isu peruntukan kesihatan.

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan pemotongan dalam sektor kesihatan wajar dielakkan kerana ia merupakan sektor kritikal yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sebarang pengurangan, walaupun dilabel sebagai bukan kritikal berpotensi menjejaskan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.

Menurutnya, dalam keadaan sistem kesihatan awam yang sedia tertekan dengan isu fasiliti sesak, peningkatan penyakit tidak berjangkit serta kekurangan tenaga kerja, langkah itu berisiko memburukkan lagi keadaan.

Ujar beliau, kebajikan petugas kesihatan kini turut berada pada tahap membimbangkan dengan isu keletihan, beban kerja serta penghijrahan tenaga mahir yang semakin ketara.

“Pemotongan peruntukan dalam situasi ini hanya akan menambahkan tekanan dan melemahkan lagi sistem yang sudah pun rapuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambanya, ABIM menegaskan bahawa sekiranya penjimatan fiskal perlu dilaksanakan, kerajaan wajar menilai semula perbelanjaan dalam sektor lain yang kurang kritikal, tanpa mengorbankan sektor asas seperti kesihatan.

Pada masa sama, ujarnya, ketelusan juga amat penting untuk kerajaan menjelaskan secara terperinci skop pemotongan, garis masa pelaksanaan serta langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

Tambah beliau, dalam jangka sederhana dan panjang, ABIM berpandangan bahawa kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan reformasi sistem kesihatan seperti yang digariskan dalam Health White Paper, termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi mengoptimumkan kapasiti dan mengurangkan tekanan terhadap sistem awam.

“Tanpa langkah reformasi yang jelas dan berani, sistem kesihatan negara akan terus terdedah kepada krisis berulang,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, ABIM menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tampil dengan pelan intervensi yang lebih agresif dan proaktif dalam mendepani cabaran semasa.

Ujarnya, kesihatan awam tidak boleh dijadikan sasaran mudah untuk penjimatan fiskal.

“Ia adalah pelaburan strategik negara, dan kegagalan melindunginya akan membawa implikasi yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast