Pengarah Hydroshoppe, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak hadir bagi sebutan kes rasuah suapan RM500,000 berhubung pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Hydroshoppe Sdn. Bhd. dan pengarahnya berhubung suapan RM500,000 melibatkan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur, akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin membenarkan permohonan pengarahnya, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dan syarikat itu agar perbicaraan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan kedua-dua kes dijadual didengar di hadapan beliau secara bersama dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes dalam tempoh dua minggu.

Kes itu berkaitan penawaran suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun, bagi faedah Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Hakim Suzana Hussin melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan kedua-dua kes yang telah ditetapkan sebelum ini.

Tarikh-tarikh perbicaraan pada 5 Jun, 20 hingga 22 Julai, 28 Ogos, 5 hingga 7 Oktober dan 19 hingga 21 Oktober, serta 1 hingga 4 Disember ini.

Pada prosiding hari ini, pemohon diwakili peguam Joshua Tay dan Tang Jia Yearn manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Dr. Irfa Sirrhu Samsudin.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Noor Ruwena berpendapat permohonan itu mempunyai merit selepas berpuas hati dengan hujahan pemohon bahawa akan timbul kesukaran yang luar biasa berhubung isu undang-undang jika perbicaraan didengar di Mahkamah Sesyen.

Namun beliau berpendapat, masih terlalu awal untuk menentukan isu bahaya berganda (double jeorpardy) yang dibangkitkan oleh pemohon-pemohon bagi menyokong permohonan mereka.

Menurut Hakim Noor Ruwena, pemohon berhujah meskipun kedua-duanya (pengarah dan syarikat) adalah entiti berbeza, mahkamah perlu melihat bagaimana perbicaraan kes tersebut akan dijalankan pada masa akan datang.

Beliau berpuas hati, oleh kerana kes tersebut melibatkan saksi-saksi serupa, maka adalah wajar perbicaraan didengar secara bersama.

Pada 15 Mei lalu, Hakim Noor Ruwena mendengar penghujahan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mewakili responden.

Amer Hamzah berhujah, pertuduhan membabitkan dua entiti berasingan iaitu terhadap Abdul Hamid Shaikh sebagai individu mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan satu lagi terhadap syarikat tersebut di bawah Seksyen 17A(1)(a) akta yang sama.

“Walaupun entiti berasingan, kedua-duanya adalah berdasarkan dakwaan yang sama, menimbulkan kebimbangan berkaitan pertuduhan terhadap diri sendiri dan potensi bahaya berganda,” katanya.

Peguam menambah bahawa pertuduhan dalam kedua-dua prosiding itu menimbulkan persoalan undang-undang yang rumit, khususnya mengenai pelanggaran Perkara 5, 7, dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Farah Ezlin bagaimanapun berhujah bahawa bahaya berganda tidak timbul kerana pertuduhan membabitkan pihak berbeza.

Hujah beliau, ia melibatkan Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang dipertuduhkan terhadap Abdul Hamid Shaikh sebagai individu manakala Seksyen 17A akta yang sama ditujukan kepada Hydroshoppe sebagai sebuah syarikat.

“Kesalahan itu mungkin bertindih dari segi fakta, tetapi ia tidak bertindih di sisi undang-undang. Bahaya berganda hanya timbul jika tertuduh dibicarakan dua kali atas kesalahan yang sama di sisi undang-undang,” hujah Farah Ezlin.

Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan itu menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hydroshoppe turut berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, iaitu menawarkan suapan kepada Ser Lay bagi faedah Annuar dengan niat sama di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast